Sunday, September 12, 2010

Bekas SU Pemuda PAS Pusat meninggal dunia

Harakahdaily

IPOH, 11 Sept: Ustaz Hamim Abu Bakar, bekas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat meninggal dunia di Ipoh hari ini ketika berusia kira-kira 70 tahun.

Hamim meninggal di Hospital Ipoh selepas diserang sakit jantung ketika menziarahi sanak saudaranya sempena Aidil Fitri.

Sebelum ini, Hamim adalah petugas sepenuh masa Pejabat Agung PAS. Beliau menjadi Setiausaha Pemuda di hujung tahun 1970-an ketika Pemuda PAS dipimpin Datuk Mustafa Ali.

Jawatan itu kemudiannya diambil alih oleh Haji Subky Latif selepas beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas akibat kemalangan.

Ketika konfrantasi dengan Indonesia, Hamim pernah ditahan ISA.

Hamim yang tinggal di Petaling Jaya sebelum ini meninggalkan isteri dan empat anak.

Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.

"Allahyarham adalah seorang petugas PAS yang sangat komited. Beliau bukan setiausaha sahaja tetapi juga driver bila kita ada program.

"Dia telah menyerahkan seluruh hidupnya untuk perjuangan semasa beliau sihat dahulu hingga tidak sihat selepas kemalangan," kata Mustafa.

Wednesday, September 8, 2010

Perutusan Idulfitri 1431H Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar,

Lailaha Illallah Wallahu akbar,

Allahuakbar walillahil hamd.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus bernafas di bumi ini, menyempurnakan ibadat yang dipikulkan di atas bahu kita sepanjang Ramadhan dan seterusnya menyambut kehadiran Idulfitri pada hari ini.

Sesungguhnya, tiada daya dan upaya yang dimiliki oleh hamba melainkan dengan izin Allah SWT Yang Maha Besar dan Berkuasa. Justeru sewaktu kita riang gembira menyambut kehadiran hari raya, kita disuruh untuk terus mengagungkan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur…” – Surah al-Baqarah, ayat 185.

Oleh yang demikian, wajarlah semangat pengagungan Allah SWT ini dilaksanakan di dalam seluruh aspek kehidupan kita. Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, saya ingin mengambil peluang di dalam kesempatan hari raya ini untuk mengajak semua pihak agar kembali kepada Allah SWT di dalam menangani semua permasalahan kehidupan. Negara yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah yang kronik perlulah diselamatkan segera sebelum keadaan menjadi semakin parah. Di peringkat remaja kita berdepan dengan isu keruntuhan moral dan akhlak seperti buang bayi dan penagihan dadah. Di peringkat pimpinan diselubungi pula dengan isu rasuah dan penyelewengan kuasa. Tidak ada jalan keluar daripada permasalahan ini melainkan kembali kepada penyelesaian yang dicadangkan oleh Allah SWT. Inilah yang tersirat di sebalik laungan takbir yang dilafazkan pada hari raya ini.

Akhir kata, saya mengalu-alukan anak-anak Kelantan di perantauan yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Berhati-hatilah di jalanraya agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Sekalipun anda semua berada di perantauan, janganlah dilupakan bumi Kelantan yang menjadi tanah tumpah darah. Titipkanlah sentiasa doa dan harapan agar Kelantan khususnya sentiasa dilimpahkan rahmat oleh Allah SWT.

Selamat Hari Raya Idulfitri.

YB HAJI ABDUL LATIF BIN ABDUL RAHMAN,

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 8 September 2010M / 29 Ramadhan 1431H