Wednesday, April 2, 2014

Ustaz Ismail Noh, Berehatlah Wahai Ayahanda

Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kematian bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Mas, Ustaz Ismail Noh awal pagi tadi sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada PAS Pasir Mas bahkan juga kepada PAS Negeri Kelantan sendiri. Ini kerana beliau merupakan salah seorang ulama yang dikenali dengan kepetahan hujahnya serta ketinggian ilmun yang sukar untuk ditandingi.
Allahyarham yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan dikenali di kalangan anak-anak muda sebagai seorang murabbi yang tidak putus-putus menekankan aspek tarbiyyah dan pengorbanan sebagai faktor penting untuk mencapai kejayaan di dalam perjuangan.
Sebelum bertanding di dalam pilihanraya, beliau merupakan Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) Yayasan Islam Kelantan. Justeru beliau banyak turun ke sekolah-sekolah untuk berjumpa guru-guru dan pelajar-pelajar membuat tinjauan dan menyampaikan ceramah. Tidak hairan di kalangan pimpinan negeri pada hari ini yang pernah mendapat pendidikan di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan pernah mengenali beliau sebagai seorang yang sangat berjasa di dalam bidang pendidikan khususnya di negeri Kelantan. Kepetahan bahasa Arabnya juga hampir-hampir menyamai Almarhum Ustaz Yahya Othman yang terlebih dahulu pergi beberapa tahun yang lepas.
Di Pasir Mas pula, beliau pernah menewaskan Dato Ibrahim Ali untuk kerusi Parlimen Pasir Mas sebanyak dua kali pilihanraya umum iaitu pada tahun 1999 dan 2004. Namun, beliau dengan sukarela menyerahkan kerusi tersebut untuk ditandingi oleh bekas lawannya itu menggunakan logo PAS sebagai mematuhi arahan pimpinan parti pada tahun 2008. Bahkan beliau juga yang mengepalai perarakan penamaan calon di Pasir Mas ketika pilihanraya umum 2008. Inilah sejarah kepatuhan beliau kepada keputusan pucuk pimpinan parti yang sangat bersejarah di Pasir Mas.
Sesungguhnya kematian itu satu kerehatan kepada orang-orang mukmin. Rehat dari perjalanan hidup dunia yang merupakan satu ujian. Semoga Ayahanda Ustaz Ismail Noh mendapat kerehatan penuh kenikmatan daripada Allah SWT. Sekali lagi, Pemuda PAS Kelantan merakamkan takziah setinggi-tingginya kepada keluarga Allahyarham dan semoga beliau dimasukkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh, Insya-Allah.
Salam takziah.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment